Ketika pelbagai pihak terus mempertikaikan hala tuju negara dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, angka yang dikeluarkan oleh Indeks Daya Saing Dunia (IMD) memberikan gambaran yang sukar untuk dinafikan. Dalam tempoh hanya lima tahun pertama pentadbirannya, Malaysia mencatatkan peningkatan yang paling besar berbanding dua bekas Perdana Menteri terdahulu yang turut meninggalkan legasi besar kepada negara.
Berdasarkan data IMD, Malaysia berada di tangga ke-32 pada tahun 2022. Setahun kemudian, kedudukan negara meningkat ke tangga ke-27 sebelum mengalami sedikit penurunan ke tangga ke-34 pada tahun 2024. Namun, momentum pemulihan ekonomi dan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan telah membuahkan hasil apabila Malaysia melonjak ke tangga ke-23 pada tahun 2025 dan seterusnya mencapai tangga ke-15 pada tahun 2026.
Apa yang lebih menarik, lonjakan sebanyak 17 anak tangga dalam tempoh lima tahun pertama pemerintahan Anwar Ibrahim jauh mengatasi peningkatan yang dicapai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meningkat dua anak tangga antara 1990 hingga 1994 serta Datuk Seri Najib Razak yang meningkat tiga anak tangga dari 2009 hingga 2013.
Pencapaian ini bukan sekadar angka di atas kertas, ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, keberkesanan dasar pembaharuan, kestabilan politik yang semakin kukuh serta daya tahan Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Di sebalik pelbagai kritikan dan serangan politik, data antarabangsa menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah yang lebih kompetitif di peringkat dunia. Hakikatnya, kejayaan sesebuah negara tidak diukur melalui persepsi atau retorik semata-mata, tetapi melalui pengiktirafan institusi antarabangsa yang menilai prestasi berdasarkan pelbagai indikator ekonomi, kecekapan kerajaan, infrastruktur dan produktiviti.
Persoalannya, adakah rakyat sanggup menafikan fakta yang dipaparkan oleh indeks berprestij dunia ini? Atau sudah tiba masanya untuk mengakui bahawa di sebalik segala cabaran dan perbezaan pandangan politik, Malaysia sedang membina semula kekuatannya untuk kembali berdiri sebagai antara negara paling berdaya saing di dunia?
Kerana akhirnya, sejarah tidak akan mengingati siapa yang paling lantang mengkritik, tetapi siapa yang berjaya membawa negara melangkah lebih jauh.
p/s : masih lagi nak menafikan? baca dengan mata hati bukan mata lalat
No comments:
Post a Comment