Sejak di bangku sekolah, Anwar Ibrahim konsisten mahu melaksanakan 3 misi utama; Pencerahan, Perubahan, dan Pembebasan. 3 misi ini terangkum dalam istilah Arab sebagai 3-T: Tanwir, Taghyir, Tahrir.
Semasa zaman persekolahan, beliau dan rakan-rakan menubuhkan satu kumpulan "Maramunja", iaitu gerakan untuk membantu kumpulan pelajar dan masyarakat yang susah. Ada satu lagi gerakan di sekolah beliau, iaitu Badan Revolusi Ugama (BRU). Beliau pernah beberapa kali 'fly' dari MCKK untuk bagi tusyen percuma kepada pelajar pondok dan orang kampung.
Melangkah ke alam universiti, beliau bersama rakan-rakan menggerakkan kempen budaya ilmu melalui Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya. Ada pelbagai peristiwa di mana mereka menggerakkan program Usrah di kampus dan di luar kampus. Beliau menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menggabungkan NGO-NGO Pelajar Islam dari semua negeri di Malaysia ketika itu. Antara jasa besar PKPIM adalah terlibat dalam penubuhan UKM (DSAI sendiri hadir dalam mesyuarat penubuhannya) dan UIA.
Habis belajar, beliau mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama rakan-rakan lain. Gerakan beliau ketika ini menjangkaui peringkat antarabangsa, sehinggakan beliau pernah ditawarkan bekerja di PBB. Beliau juga pernah ditawarkan menjadi SUPOL kepada Tun Abdul Razak, yang merupakan PM ke-2. Tapi beliau tolak kedua-duanya, kerana mahu bebas dan mahu berbakti di peringkat bawah. Beliau lantas membuka sekolah Yayasan Anda Akademik, yang mengambil pelajar-pelajar Melayu yang tercicir untuk mengambil peperiksaan SPM dan berjaya.
Keputusan untuk menyertai UMNO dan aktif dalam politik dibuat, setelah mengambil kira tawaran Tun Mahathir, bagi membolehkan beliau melaksanakan misi beliau dengan lebih berkesan di dalam kerajaan. Walaupun dia pernah menolak jawatan SUPOL, tapi kali ini beliau lebih berkeyakinan. Keputusan itu juga didorong oleh sokongan tokoh Islam seperti Sheikh Ismail Raji al-Faruqi. Beliau merasakan peranan Anwar diperlukan di dalam kerajaan pada ketika itu untuk melaksanakan agenda Islamisasi dengan lebih berkesan.
Hayat politik beliau dalam UMNO tidak berpanjangan, apabila beliau difitnah dengan fitnah seksual. Sekali lagi beliau konsisten mendidik ummat, tidak melakukan sumpah laknat, sebaliknya meneruskan perjuangan mengikut saluran undang-undang, walaupun agak meragukan.
Biar lambat asal selamat...
Lalu beliau menubuhkan NGO ADIL dan Parti KEADILAN. Misi utama adalah mendidik ummat tentang ilmu siyasah. Kalau sebelum ini rakyat hanya belajar siyasah melalui jalan politik PAS, tapi kini ilmu itu semakin berkembang. Politik yang merangkul semua bangsa dan agama, jarang dibicarakan oleh PAS pada ketika itu.
Politik yang menyatukan atas dasar nilai yang disepakati bersama, nilai keadilan, nilai kemanusiaan, dan sebagainya. Politik yang mahukan perubahan "Taghyir" atau Reformasi, ke arah negara yang lebih baik. Istilah yang digunakan adalah 'Islah', memetik Doa Nabi Shuib dari kalan Qurani.
Tahun 2018, fasa perlaksanaan kata-kata bermula. Kali pertama PH menjadi kerajaan. Walaupun banyak perkara tidak dapat dilaksanakan, kerana kekangan kuasa, tapi DSAI tetap mengajar kita tentang diplomasi politik. Tak boleh laksanakan semua, mulakan dengan apa yang boleh dilaksanakan dan mempunyai impak yang besar.
2020 bermulanya siri pengkhianatan. Kita belajar bagaimana kesabaran yang tinggi diperlukan untuk menghadapi ujian persahabatan ini. Tidak lemah semangat. DSAI terus merangka agenda reformasi yang lebih bermakna.
Kejayaan pada tahun 2022 adalah rezeki yang Allah kurniakan. Tidak memenangi semua, tapi boleh menjadi PMX. Sudah pasti cara pentadbirannya akan berbeza. Apatah lagi dalam keadaan kerajaan yang berkongsi dengan musuh-musuh lama, sudah pasti perlu ditangani dengan penuh hikmah.
Alhamdulillah, 3 tahun berlalu, kerajaan masih utuh di situ. Tidak ada yang menarik sokongan besar-besaran. Agenda reformasi dapat dilaksanakan secara berhikmah. Beliau mendidik rakyat untuk memahami keutamaan. Ada yang faham, dan ada yang marah.
Tapi, kalau bukan dia yang laksanakan, siapa lagi?
Begitulah cerita konsistennya insan ini, walau apa jua serangan yang ditujukan kepadanya....
Semoga terus berjaya!
DR AHMAD SAFWAN MOHAMAD
Pengarah Komunikasi
KEADILAN Negeri Perak
p/s : baca dengan hati terbuka, jangan baca dengan penuh kebencian.

No comments:
Post a Comment