Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pelbagai naratif mula dimainkan. Yang terbaru, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meluahkan rasa kecewa apabila dikatakan tidak dapat menyerahkan geran tanah kepada peneroka Felda seperti yang dirancang.
Persoalannya, siapakah sebenarnya yang menghalang beliau?
Jika diteliti, situasi ini menimbulkan seribu tanda tanya. Hal ehwal Felda berada di bawah portfolio Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO. Pengerusi Felda pula datang daripada UMNO. Onn Hafiz sendiri merupakan Naib Presiden UMNO dan Menteri Besar daripada parti yang sama.
Mengapa seorang Menteri Besar daripada parti pemerintah seolah-olah berdepan kesukaran untuk melaksanakan program di kawasan Felda di negerinya sendiri?
Keadaan ini mencetuskan persepsi bahawa terdapat keretakan dalaman yang lebih serius daripada apa yang dipaparkan kepada umum. Selama ini, UMNO sering menegaskan bahawa parti itu semakin kukuh, stabil dan bersedia bergerak secara solo kerana mempunyai jentera yang bersatu padu.
Namun, episod ini seakan-akan menunjukkan gambaran yang berbeza. Jika benar wujud sekatan terhadap program penyerahan geran tersebut, ini menimbulkan persoalan sama ada wujud persaingan dalaman, perebutan pengaruh atau kebimbangan terhadap populariti pemimpin tertentu.
Lebih menarik, isu geran tanah yang sepatutnya menjadi berita gembira buat peneroka kini bertukar menjadi polemik politik. Rakyat bukan sahaja mahu mengetahui siapa yang betul atau salah, tetapi juga mahu melihat sejauh mana pemimpin mampu menyelesaikan masalah tanpa menjadikan isu pentadbiran sebagai bahan pertikaian terbuka.
Akhirnya, persoalan terbesar masih belum terjawab: Adakah Onn Hafiz benar-benar disekat, atau ini sekadar strategi politik untuk membina persepsi bahawa beliau merupakan pemimpin yang dizalimi dan sedang berjuang demi rakyat?
Dalam politik, persepsi kadangkala lebih berkuasa daripada realiti. Tetapi bagi rakyat Johor dan warga Felda, yang lebih penting bukanlah drama siapa menghalang siapa, sebaliknya siapa yang benar-benar mampu menyelesaikan isu mereka dan menunaikan janji yang dibuat.
p/s : Seperti kata TMJ, HOLLYWOOD!

No comments:
Post a Comment